Apa Sebenarnya Perbezaan Minyak Petrol RON 95 Dan RON 97?

Tetapi tahukah anda apakah itu RON? Pernahkah anda semua tertanya apa bezanya minyak RON97 dan minyak RON95 tu. Minyak yang mana satukah yang lebih bagus? RON95 atau RON97?

Mungkin ada ramai yang mengatakan minyak RON95 adalah minyak yang tidak berkualiti. Sebab itu ia lebih murah. Ada pula mengatakan minyak RON95 mungkin akan mengotorkan engine anda dan ada juga yang mengatakan minyak RON95 kurang berkuasa berbanding minyak RON97.

Sebelum anda semua membuat tanggapan palsu,mari kita fahami apakah maksud sebenar RON.

 Meski pun telah dihebahkan dan diberi penerangan secara meluas, masih ramai yang salah faham mengenai keperluan klasifikasi RON ini.
RON adalah singkatan bagi ‘RESEARCH OCTANE NUMBER‘, dimana octane number ataupun octane rating bermaksud ketahanan minyak tersebut sebelum ianya meletup atau dinyalakan di dalam engine anda.

RON97 bermakna minyak ini lebih tinggi ketahanannya berbanding dengan RON95 atau RON92. RON yang tinggi dicipta untuk mengelakan berlakunya nyalaan pramatang dan pada asalnya diciptakan untuk kereta yang berkuasa tinggi seperti kereta-kereta lumba dan sport.

Tidak bermakna menggunakan RON95 itu tidak bagus untuk kereta anda. Harus diingatkan bahawa nilai oktana tidak ada kaitan dengan kandungan tenaga di dalam bahan api, ataupun kelajuan bagi api palam pencucuh untuk sampai merentasi kebuk pembakaran. Ia hanya ukuran ketahanan bahan api terhadap nyalaan sendiri.

Oleh itu, ia sepatutnya tidak menjejaskan prestasi enjin. Namun begitu, anda masih perlu memeriksa keperluan gred minima bagi enjin kereta anda.

Apa yang perlu anda buat ialah rujuk buku panduan kereta anda untuk Rating Octane minimum yang boleh dipakai dan juga kereta anda perlu menggunakan minyak unleaded (tanpa plumbum) ataupun leaded (plumbum).

Apabila anda refer kepada manual kereta anda, kat situ ada ade tercatat minimum ron yang boleh digunakan. Kalau dia tulis ron 95, maknanya anda kena guna Ron 95 dan ke atas saja. Jangan pula guna minyak bawah ron95. Nanti rosak pula kereta anda.

Selain di dalam buku panduan, anda juga boleh melihat sticker Octane Rating minimum di lid penutup minyak kereta anda. Di situ pun biasanya ada di catatkan.

Secara asasnya memang lagi tinggi RON tu, maka lagi bagus minyak tu. Tapi perlu diingat, RON yang lebih tinggi tidak bermaksud ianya lebih berkuasa. Ia hanya bermaksud minyak itu lebih susah untuk dinyalakan. Dan sebenarnya, setiap engine sesebuah kereta itu direka dengan minimum octane rating nya yang tersendiri.
Jadi, paling pentingnya ialah periksa manual kereta anda, apakah nilai minimum octane rating atau RON nya. Gunalah minyak paling minimum yang dicatatkan itu. Kalau RON95 maka anda boleh guna RON95 tanpa ada sebarang masalah. Dengan menggunakan minyak RON95, anda sebenarnya dapat menjimatkan duit anda kerana ianya lebih murah.

Apa itu RON?

RON berkaitan dengan campuran dua unsur asas iaitu oktana dan pentana yang melengkapkan sifatnya menjadi bahan bakar petrol.

RON95 bermaksud 95 peratus kandungannya ialah oktana dan selebihnya pentana. Begitu juga dengan RON97 iaitu hanya tiga peratus pentana dan selebihnya oktana.

Pada asasnya RON ialah gred bagi keupayaan petrol menentang pembakaran tidak normal dan menjana tenaga pada masa yang sepatutnya ketika proses pembakaran.

Penggunaan RON yang betul untuk enjin kenderaan, biasanya dinyatakan di dalam manual pemilik, dan kadang kala pada pelekat yang terdapat pada penutup tangki minyak.

Pengguna seharusnya tidak bimbang mengenai hal ini kerana kebanyakan kenderaan boleh menggunakan petrol RON95 tanpa sebarang masalah atau kehilangan kuasa memecut.

Pakar kejuruteraan produk Chevron, Greg Engeler berkata ramai yang salah faham bahawa petrol dengan RON yang lebih tinggi akan menjadikan enjin lebih cekap sedangkan RON yang lebih tinggi daripada spesifikasi yang ditentukan tidak akan memberi kesan yang signifikan.

Katanya teknologi enjin, jenis kenderaan dan cara pemanduan memainkan peranan yang lebih besar dalam menentukan ekonomi petrol berbanding perbezaan nilai RON.

Tambahnya lagi kelebihan jangka panjang dengan penggunaan RON95 ialah bila Malaysia memenuhi spesifikasi Euro 2M, proses penerimaan teknologi baru yang lebih cekap dan mesra alam daripada Eropah akan menjadi lebih mudah.

Menurut portal majalah kereta.com.my, di Eropah, klasifikasi keseragaman kelas bahan bakar petrol dibahagikan kepada tiga kelas utama iaitu RON91, RON95 dan RON98.

Pembahagian itu dibuat berdasarkan jenis keperluan bahan bakar yang diperlukan pada setiap jenis enjin daripada pengeluar yang berlainan.

RON91 dicipta untuk enjin yang mampu menerima petrol berplumbum, RON95 untuk petrol tanpa plumbum yang juga disebut petrol premium dan RON98 atau disebut juga sebagai Super Plus atau Super Premium.

Di Eropah juga penggunaan RON95 ialah lebih 84 peratus daripada keseluruhan penggunaan petrol yang merupakan bahan bakar utama kenderaan.

Cuba semua jenama

Jika anda masih tidak berpuas hati, pendekatan Herlina Ahmad mungkin patut dicontohi.

Pensyarah muda yang memandu Toyota Avanza 1.3 keluaran tahun 2006 ini mencuba pelbagai jenama petrol RON95 yang terdapat di pasaran dan merekodkan jumlah perjalanan dan kos secara terperinci.

Beliau mendapati walaupun perbezaan tidak begitu ketara, dua jenama kurang efisien dari segi ekonomi, satu kurang cekap dan beliau berpuas hati dengan dua lagi jenama yang lain.

“Pikap kereta normal, kadang-kadang saya memecut hingga 140km sejam. Keluar dari simpang pun macam biasa,” katanya.

Begitu juga dengan Noor Shafina Adullah yang menggunakan RON95 untuk kereta Kembara yang dipandunya sejak lapan tahun lalu.

“Setakat hari ini, tiada masalah. Saya rasa ia lebih kepada kesan psikologi. Kalau ada pun perbezaan saya rasakan ialah petrol RON95 syarikat A lebih menjimatkan atau efisyen dari syarikat B,” katanya yang menggunakan petrol berselang-seli dengan gas NGV.

Jangan membazir

Jadi, sekiranya enjin anda cukup sekadar dengan pembakaran RON95, kenapa perlu membazir membeli petrol RON97?

Sebaliknya, jika enjin anda dicipta untuk membakar dengan RON97, adalah tidak memadai menggunakan RON95 kerana omboh akan mengalami masalah ketukan.

Dakwaan mengatakan semakin tinggi RON adalah lebih baik dan mampu menghasilkan enjin yang lebih berkuasa juga tidak benar. Petrol yang baik ialah petrol yang sesuai dengan RON yang diperlukan oleh enjin.

Setiap pengeluar mempunyai resepinya yang tersendiri untuk menjadikan petrol mereka membakar dan membersih dengan efisien. Mereka memiliki pusat penyelidikan untuk membuat rumusan petrol dengan jisim seperti bersifat ‘mencuci’, mengekalkan tahap pembakaran, ketahanan dengan suhu dan pelbagai aspek untuk memastikan petrol mereka konsisten mengikut spesifikasi enjin yang direka untuknya.

Ramai yang salah faham bila menganggap RON97 menghasilkan lebih banyak kuasa berbanding RON95, apatah lagi realitinya lebih tinggi nilai RON, lebih sukar bahan api dibakar. RON hanya merujuk kepada kemampuan bahan api untuk menahan ketukan semata-mata.

Enjin yang memerlukan nilai RON yang lebih tinggi lazimnya mempunyai nisbah mampatan yang lebih tinggi seperti Satria GTI.

Perakuan Pengeluar Kereta

Kesimpulannya, RON ialah berdasarkan kesesuaian enjin, bukan kualiti semata-mata.

Apatah lagi hampir semua pengedar dan pengeluar kereta di negara ini telah mengeluarkan kenyataan mengenai kesesuaian model mereka dengan RON95.

Antaranya, kumpulan Automotif Naza menggalakkan pemilik kenderaan Naza, KIA dan Peugeot yang menggunakan bahan api petrol menggunakan RON95.

Syarikat itu berkata RON95 sesuai bagi kereta Naza Ria, Naza Citra, Naza Suria, Naza Citra II Rondo, Kia Sportage, Kia Carnival, Kia Carens, Kia Picanto, Kia Optima, Kia Spectra5, Kia Spectra, Kia Rondo, Naza 206 Bestari, Peugeot 206, Peugeot 407, Peugeot 308 Turbo, Peugeot 308Vti dan Naza Forza manakala Naza Sorento, Kia Sorento dan Kia Pregio menggunakan diesel.

UMW Toyota Motor juga mengeluarkan kenyataan petrol RON95 sesuai bagi kegunaan semua kenderaan Toyota dan Lexus yang dijual oleh syarikat itu.

Pengedar eksklusif kenderaan Toyota dan Lexus di Malaysia itu berkata pemilik kereta-kereta ini, yang ketika ini menggunakan petrol RON97, boleh beralih kepada RON95 tanpa perlu bimbang akan masalah kerosakan enjin atau hilang prestasi.

Honda Malaysia juga mengumumkan bahawa semua model yang diedarkan oleh syarikat itu serasi dengan minyak petrol RON95.

Honda Malaysia memberikan jaminan kepada semua pemandu kenderaan Honda bahawa RON95 seharusnya tidak menjejaskan mana-mana model yang diedarkan oleh wakil jualan sahnya, kecuali model Civic Type R.

Civic Type R dicadangkan menggunakan RON97 kerana enjinnya yang berprestasi tinggi, kata Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Toru Takahashi.-Bernama

admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *